SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SMKA NAIM LILBANAT

SMKA NAIM LILBANAT

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat (SMKANL) yang nama asalnya Madrasatun Naim Lilbanat telah ditubuhkan oleh Tn. Hj. Nik Yahya bin Nik Daud pada Januari 1941. Idea penubuhan sekolah ini diperolehi pada tahun 1931 daripada nasihat seorang Guru Agama daripada sebuah sekolah Arab untuk pelajar perempuan di Singapura iaitu Tuan Guru Haji Muhamad Fadhullah Al-Zahari. Beliau menyatakan bahawa menjadi Fardhu Kifayah mewujudkan sekolah ini kerana pada waktu itu belum ada sekolah agama untuk perempuan.

Pada peringkat awal penubuhannya, proses pembelajaran dan pengajaran telah dijalankan di tingkat atas kedai (Syarikat Qamar) Tuan Haji Nik Yahya Nik Daud sendiri yang terletak di Jalan Petra Semerak dengan pelajar perintisnya seramai 7 orang. Pada ketika itu terdapat hanya seorang tenaga pengajar iaitu Encik Hussain Muhammad yang berkelulusan dari pondok Kuliah Al-Atta, Johor. Apabila muridnya meningkat kepada 70 orang, sekolah ini dipindahkan kesebuah rumah sewa kepunyaan Che Ibrahim (Syarikat Ibrahim) di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu pada tahun 1947. Pada ketika itu terdapat hanya 7 buah kelas iaitu dari darjah 1 hingga 7, manakala gurunya pula terdiri daripada 3 orang warganegara Indonesia.Pada tahun 1949, murid-murid telah meningkat kepada 120 orang dengan 2 orang tenaga pengajar iaitu Tuan Haji Fadhullah Suhaimi dan Tuan Haji Yaacub Idris, manakala pengetuanya pula ialah Haji Idris b. Haji Omar.

Usaha yang bersungguh-sungguh ini akhirnya telah menampakkan hasilnya di mana pada tahun 1954 seramai 7 orang pelajarnya telah menjadi tenaga pengajar di madrasah ini. Mereka ialah Ustazah Fatimah yusof (Bendahari Sekolah), Nik Kamariah Nik Yahya, Karimah Abdullah, Wan Maimunah Wan Hassan, Nik Zaharah Nik Yahya, Ustazah Salamah Hassan dan Ustazah Naimah.

Pada tahun 1956, bangunan madrasah ini telah dipindahkan pula ke Jalan Sultan Yahya Petra sehinggalah sekarang.

Yang Teramat Mulia Tengku Zainab Ibni Al Marhum Tengku Muhamad (Raja Perempuan Zainab 2) dan abangnya Tengku Ibrahim Ibni Al Marhum Tengku Muhamad (Tengku Sri Utama Raja) mengurniakan tanahnya dan dijual dengan harga yang murah dan ditukar nama dengan serta merta kepada Tuan Haji Nik Yahya Nik Daud dengan harga $24,000.00 dengan bayaran secara ansuran. Bagi menjelaskan bayaran ini, Tuan Haji Nik Yahya telah memohon sumbangan daripada Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu dan telah menyumbangkan sebanyak $70,000.00 di samping beliau sendiri telah meletakkan batu asas pembinaan sekolah ini pada 3 Ogos 1958 bersamaan 17 Muharram 1378H.

Bagi membina bangunan sekolah ini, sebuah syarikat cina (Syarikat Keng Be Kurlia, Kota Bharu) telah menerima tender pembinaan berjumlah $82,500.00 dengan mengeluarkan modal syarikat. Bayaran dibuat secara ansuran dengan sumbangan daripada Tengku Abdul Rahman dan sehingga siap bangunan sekolah ini pada waktu itu, hutang masih tertonggak sebanyak $32,500.00. Bagi menjelaskan hutang ini, Dato' Nik Hassan Nik Yahya iaitu anak Tuan Haji Nik Yahya sendiri telah berjumpa dengan Tengku Abdul Rahman bagi memohon sumbangan. Untuk itu, Tengku telah menyumbangkan sebanyak $30,000.00 dan baki hutang $2500.00 lagi telah disumbangkan oleh syarikat pembinaan tersebut sebagai hadiah.

Selain daripada itu juga terdapat beberapa pihak lain yang turut menyumbang. Mereka termasuklah Majlis Agama Islam Kelantan yang telah menyumbang sebanyak $1000.00, Syarikat Lee Rubber Bhd sebanyak $1000.00, Ayah Ji Syeik, Syarikat mancis sebanyak $1000.00, Che Ismail Sultan Kedai kain sebanyak $900.00, Syarikat Bombay (Abdul Ghafar) sebanyak $500.00 dan lain-lain penyumbang yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan India, Melayu dan Arab. Pihak Majlis Agama Islam Kelantan juga sekali lagi menyumbangkan $1000.00 di masa permulaan pembinaan Asrama pada tahun 1971. Ketika itu, Madrasah ini hanya mempunyai bangunan 2 tingkat dengan 9 bilik darjah dan sebuah asrama puteri 2 tingkat.


Tn Hj Nik Yahya Nik Daud merupakan pengasas SMKA Naim Lilbanat

Sebagai sebuah sekolah yang tersohor pada ketika itu di negeri Kelantan, Madrasatun Naim Lilbanat telah menjadi tumpuan para ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu agama di samping beberapa kemahiran lain yang turut diajar seperti jahitan dan masakan. Terdapat ramai lepasan sekolah ini telah berjaya menjawat jawatan penting dalam bidang ilmuan di negeri ini. Contohnya Puan Faezah Ismail yang menjawat jawatan Pensyarah di Pusat Pengajian Tinggi Nilam Puri (Akademi Islam Universiti Malaya) dan Puan Hashimah Haji Ahmad.

Namun begitu, sekolah ini pernah meniti zaman kemerosotan pada tahun 1974 hingga 1976. Walau bagaimanapun dengan bantuan Kerajaan Negeri Kelantan, madrasah ini terus bertahan. Pada tahun 1977, pihak kerajaan pusat telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini, maka bermula dari saat itulah wujudlah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat (SMKANL) berada di bawah pembiayaan Kementerian Pelajaran Malaysia sehinggalah ke hari ini. Proses pengambilalihan sekolah ini telah disempurnakan oleh Dato' Musa Hitam selaku Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu itu.

Pada tahun 1983, Blok B, Asrama B dan sebuah Musalla telah dibina, selain daripada Blok A dan Asrama A yang sedia ada sejak 1958 lagi.

Sehingga tahun 1983, sekolah ini hanya mempunyai 2 blok pentadbiran dan 2 buah asrama selain sebuah dewan makan. Bangunan blok C SMKANL telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha MuliaTuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra pada tanggal 5 April 1984 bersamaan 3 Rejab 1401H.

Pembinaan Blok D pada tahun 1990 manakala Asrama C dan masjid pula dibina pada tahun 1995. Setahun kemudian Blok E yang menempatkan makmal sains telah dibina. Galeri Bahasa Arab pula diwujudkan pada tahun 1998 atas usaha yang bersungguh-sungguh oleh Pengetua pada waktu itu iaitu Tn Hj Abdullah Hussin. Upacara Perasmian Geleri ini disempurnakan oleh Tn Hj Mohd Alwi Yussof, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 23 Julai 1998. Pada tahun 1999 pula, dengan kerjasama antara pihak PIBG sekolah dan Syarikat Crescent Network Sdn Bhd telah mewujudkan Naim Cyber Centre (NCC). Setelah tamat tempoh perjanjian pada tahun 2003 NCC dikelolakan sepenuhnya oleh PIBG sekolah dan ditukarkan kepada nama baru Mesra Cyber Centre (MCC)sehinggalah ke tahun 2006. Pada tahun 2004 sebuah makmal komputer baru 2 tingkat yang menempat 40 buah komputer telah dibina dengan peruntukan daripada KPM dan makmal ini mula digunakan untuk proses P&P pada tahun 2006.

SMKANL telah dipilih sebagai Sekolah Rintis Bestari pada tahun 1999 oleh KPM merangkumi 4 mata pelajaran iaitu B Melayu, B Inggeris, Sains dan Matematik. Untuk itu pihak kementerian telah membekalkan 39 PC beserta 2 Note Book. Di dalam pengendaliannya, Sistem Pengurusan Sekolah Bestari (SSMS) digunakan. Pada tahun 2005, sekolah ini diiktirafkan sebagai sekolah Bestari dan pada tahun 2007, satu sistem pengurusan sekolah baru diperkenalkan iaitu  LMS).

Pusat Akses IT (PAKSI) diwujudkan pada september 2007 untuk kemudahan guru, kakitangan dan pelajar bagi mengakses maklumat dari Internet, menyediakan kerja penaipan dan percetakan. Sebanyak 10 buah komputer dan satu printer laser disediakan secara percuma. Pusat ini dibuka daripada pagi hingga ke malam termasuk hujung minggu di bawah pengawasan petugas-petugas yang dilantik dengan kerjasama Briged Bestari. Lokasinya kini terletak bersebelahan dengan BTU2 .

Pada tahun 2007, 2 blok asrama baru mula dibina dengan peruntukan terus daripada KPM. Asrama ini nanti akan menampung pelajar-pelajar yang tinggal di asrama lama yang terletak dalam kawasan sekolah dan blok asrama lama ini akan dijadikan kelas dan bilik-bilik untuk aktiviti serta pengurusan lain.

Hingga ke hari ini, SMKANL telah termasyhur dan meniti di bibir penduduk negeri Kelantan, khasnya dalam bidang kurikulum. Kemuncak kejayaan, ketrampilan dan kecemerlangan SMKANL yang menjurus ke arah kegemilangannya ialah termahkotanya sebagai Johan Sekolah Harapan Negara, Bahagian Sekolah Menengah Bandar Peringkat Kebangsaan pada tahun 1999, Anugerah Kecemerlangan Shell PMR terbaik 1998 Peringkat Kebangsaan, Anugerah Kualiti Juara JPN Peringkat negeri Kelantan, Naib Johan Anugerah Kualiti YB Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1999 dan Juara Antara Juara Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan beberapa tahun berturut sejak 1999 dan akhir sekali mendapat penghargaan Khas daripada JAPIM di atas pencapaian terbaik SPM 2005 bagi SMKA seluruh Malaysia

2008 , sekolah ini memenangi Anugerah Sekolah Cemerlang

2009 : mendapat anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan

2012 : dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi dan diikuti Baiah Tawaran Baru (New Deal) selama 3 tahun berturut-turut. 

Tahniah SMKA Naim Lilbanat, semoga terus berjaya, cemerlang dan terbilang. Naim JUARA

Last modified: Saturday, 9 September 2017, 2:34 PM